Scolari label Neymar pemain istimewa

Scolari label Neymar pemain istimewa

2014/06/13

SAO PAULO: Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari menghambur pujian ke atas Neymar selepas penyerang bintang itu meledak dua gol membantu juara dunia lima kali itu bangkit melakar kemenangan 3-1 ke atas Croatia pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala Dunia 2014, pagi ini.

“Sesuatu yang harus kami sentiasa pastikan adalah supaya Neymar gembira bermain bola. Dia seorang pemain yang istimewa,” kata Scolari yang sebelum itu menyaksikan skuad bimbingannya ketinggalan seawal minit ke-11 selepas Marcelo menampan bola masuk ke dalam gawang sendiri.

Neymar kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 sebelum menyumbat sepakan penalti kontroversi pada babak kedua yang meletakkan Brazil di depan sebelum Oscar melengkapkan jumlah jaringan.

Bintang Barcelona yang dinamakan pemain terbaik perlawanan itu berada dalam tekanan amat tinggi dengan harapan besar peminat yang mengharapkan negara itu mampu menjulang Piala Dunia buat pertama kali di laman sendiri.

“Dia tidak memerlukan kamu semua (media) untuk memaksanya menjadi pemain terbaik dunia. Tanggungjawabnya adalah bermain untuk Brazil dan itulah yang dilakukannya hari ini,” kata Scolari.

Neymar dalam pada itu menyifatkan kemenangan itu lebih daripada yang dimimpikan atau dibayangkannya.

“Pujian adalah milik keseluruhan pasukan, yang kekal tenang dan bangkit selepas ketinggalan dan menang,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Croatia, Niko Kovac menggambarkan pengadil perlawanan dari Jepun, Yuichi Nishimura sebagai ‘kurang berpengalaman’ dan menyifatkan penalti yang dikenakan kepada pasukannya sebagai tidak masuk akal.

“Jika sesiapa melihatnya sebagai penalti, biarkan mereka mengangkat tangan mereka. Saya tidak akan mengangkat tangan saya. Saya tidak dapat melihatnya. Jika kamu meneruskan perkara seperti ini, akan ada 100 penalti ketika Piala Dunia,” katanya. - Agensi

0 Response to "Scolari label Neymar pemain istimewa"

Post a Comment