Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim membidas cadangan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menempatkan kanak-kanak yang
berdepan pertikaian hak penjagaan supaya ditempatkan di pusat penjagaan.
Beliau
menegaskan semua pihak perlu mematuhi keputusan terbaru yang ditetapkan
Mahkamah Rayuan dengan merujuk kepada kes pertikaian hak penjagaan anak
bagi pasangan S Deepa dan Izwan Abdullah.
"Kes ini dah dipulangkan balik ke mahkamah. Ketua polis negara pun dah
tak ada kena mengena dah. Kes ini berbalik kepada mahkamah.
"Ia tertakluk kepada keputusan yang paling baru," katanya dalam sidang
media selepas merasmikan sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan di
Midvalley, di ibu negara hari ini.
Rohani
menjawab soalan pemberita mengenai pendirian Khalid bahawa polis akan
menempatkan anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah
dan sivil, di pusat penjagaan sebagai jalan tengah.
Bulan lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau Izwan
Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang
memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang
beragama Hindu.
Mengulas lanjut, Rohani berkata kedua-dua anak mereka itu mesti
diletakkan bawah jagaan ibu bapa mereka sehingga Mahkamah Persekutuan
membuat keputusan yang wajar mengenai kes itu.
Patuh keputusan mahkamah
"Kanak-kanak itu sekarang, seorang dengan ibu, seorang (lagi) dengan
bapa. Jadi biar mereka tinggal sehingga Mahkamah Persekutuan buat
keputusan.
"Saya harap setelah mahkamah buat keputusan sekali lagi, ikutlah. Itulah
saranan kami," katanya sambil mengulangi pendirian bahawa institusi
penjagaan kanak-kanak sebagai tempat terakhir bagi kanak-kanak itu.
Malah, katanya, kementerian pula sedia menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang terlibat.
"Peranan kami pulak kalau dihantar ke institusi jagaan kanak-kanak, bagi kami, ini adalah tempat terakhir.
"Kami nak anak ini bersama ibu dan ayah mereka. Tetapi apa yang kami
boleh tawarkan, kami buat kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa.
"Kami tunggu keputusan mahkamah tapi jika memerlukan anak itu berada di
pusat jagaan (kementerian akur). Sekarang kita tunggu keputusan dan
berharap kes ini segera (diselesaikan)," katanya.
Saturday 14 June 2014
0 Response to "Isu penjagaan anak: Rohani bidas IGP"
Post a Comment