SEREMBAN - "Mak Nyah" adalah golongan dengan roh wanita yang
terperangkap dalam badan lelaki dan tidak boleh dihukum apabila
berpakaian seperti kaum hawa kerana ia merupakan sebahagian daripada
sifat semula jadi mereka, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Peguam Aston Paiva berkata Mak Nyah turut mengalami gangguan kronik dari
segi perubatan dikenali sebagai "kecelaruan identiti jantina" (GID)
iaitu psikologi dalaman tidak sepadan dengan fizikal tubuh.
Beliau mewakili tiga tukang andam lelaki Islam yang mencabar
undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti
perempuan.
Paiva berkata orang yang mempunyai masalah ini akan berpakaian seperti
seorang wanita kerana secara psikologi mereka adalah seorang wanita.
"Bukti perubatan menunjukkan GID bukanlah satu pilihan. Tiada siapa yang
ingin mengalami GID. Ia akan menghantui anda," katanya sambil menambah
golongan ini tidak boleh diubah dengan penggunaan ubat-ubatan atau
terapi psikologi.
Beliau berkata langkah menghukum seorang Mak Nyah atas sifat yang mereka
tidak pinta atau boleh ubah adalah seperti kita menerima apartheid dan
genosid.
Paiva berkata Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992
tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai bagi kepada mereka yang secara
psikologi adalah wanita dan mengalami GID selain melanggar Perkara
10(1)(a), Perkara 5(1) dan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang
menjamin hak kebebasan bersuara, kebebasan peribadi selain melarang
diskriminasi atas sebab agama, bangsa dan jantina.
Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan
Ismail, 30, mengemukakan rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah
Tinggi yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mencabar
keperlembagaan Seksyen 66.
Mereka memohon deklarasi bahawa seksyen itu tidak terpakai terhadap mereka atau bagi orang yang mengalami GID.
Pada 4 November 2011, mereka memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakann prosiding semakan kehakiman.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan itu selepas
memutuskan bahawa oleh kerana mereka beragama Islam dan dilahirkan
sebagai lelaki, ketiga-tiga plaintif perlu mematuhi undang-undang
berkenaan sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.
Seksyen 66 membenarkan Mahkamah Syariah menghukum mana-mana lelaki yang
berpakaian atau berlagak seperti seorang wanita dengan denda tidak lebih
RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,
jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga plaintif, yang mendakwa ditahan dan diganggu berulang kali
oleh pihak berkuasa, turut memohon satu perintah bagi melarang
penangkapan dan pendakwaan terhadap mereka di bawah seksyen ini.
Sementara itu, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Majlis Peguam dan
bertindak sebagai 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah, berkata enakmen
undang-undang negeri mesti konsisten dengan kebebasan asasi sebagaimana
dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Majlis Peguam bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana berpendapat pendekatan yang digunakan adalah salah," katanya.
Panel Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Datuk Mohd Hishamudin
Mohd Yunus, Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan, menetapkan 17 Julai
untuk menyambung pendengaran kes itu.
Terdahulu, mahkamah membenarkan Majlis Peguam dan wakil Human Rights
Watch hadir sebagai amicus curiae pada pendengaran rayuan itu.Bernama
0 Response to "ROH WANITA TERPERANGKAP DALAM MAK NYAH ~ PEGUAM "
Post a Comment